Home » » LAWATAN DIRAJA KDYMM SULTAN PAHANG KE KD TUN RAZAK DAN KD PAHANG

LAWATAN DIRAJA KDYMM SULTAN PAHANG KE KD TUN RAZAK DAN KD PAHANG

Written By Achern on Tuesday, 7 February 2012 | 02:08

LAWATAN DIRAJA KDYMM SULTAN PAHANG KE KD TUN RAZAK DAN KD PAHANG DI PANGKALAN TLDM TANJUNG GELANG
KUANTAN, 7 Feb – Buat julung kalinya KD TUN RAZAK, Kapal Selam kedua yang merupakan aset strategik pertahanan negara berada di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang Kuantan sempena Lawatan Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang. Kapal ini telah dibina di Cherbourg and Navantia, Cartagena, Sepanyol dan telah dilancarkan secara rasmi pada 8 Oktober 2008 oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. KD TUN RAZAK seterusnya ditauliahkan secara rasmi pada 5 November 2009 oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Hj. Jaafar. Kapal ini diketuai oleh Komander Baharudin bin Wan Md Nor TLDM sebagai Pegawai Memerintah. Kapal selam ini mampu memuatkan 32 kru dan merupakan kapal selam konvensional yang berkeupayaan tinggi serta dilengkapi dengan peralatan teknologi terkini.
PM KD TUN RAZAK melapor kekuatan anggota kapal 
kepada Sultan Pahang
Manakala KD PAHANG yang sebelum ini berpangkalan di Markas Wilayah Laut 2, Kota Kinabalu, Sabah kini bertukar tugas ke Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang. Kepulangan KD PAHANG ke Negeri Pahang sememangnya dinantikan dan bakal menjadi suatu kemegahan kepada seluruh rakyat Negeri Pahang. Ia boleh diibaratkan seperti 'Sirih Pulang Ke Gagang'. Kapal tersebut telah dilancarkan oleh DYMM Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom pada 3 Ogos 2006 di Lumut Perak. Kini KD PAHANG diketuai oleh Komander Azhar bin Adam TLDM. KD PAHANG merupakan Kapal Peronda Generasi Baru kedua TLDM yang dikendalikan oleh 68 kru adalah berkonsepkan kapal bestari atau smart ship. Kapal yang panjangnya 91 meter ini dilengkapi dengan peralatan moden dan berteknologi tinggi sesuai dengan perkembangan aspek pertahanan masa kini.

Pada hari bersejarah ini, pihak TLDM amat berbesar hati di atas perkenan KDYMM Sultan Pahang untuk mengadakan Lawatan Diraja ke KD TUN RAZAK dan KD PAHANG di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang. Bermula dengan keberangkatan KDYMM Sultan Pahang dengan pesawat helikopter pada jam 10.30 pagi di Pangkalan TLDM Tanjung 


Gelang. Lawatan ini juga turut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato Seri Diraja Adnan bin Yaakub, Para Tetamu Diraja, Para Pembesar Negeri serta Persekutuan, serta Pegawai Kanan TLDM. Kebawah Duli Tuanku telah berangkat ke Jeti Operasi untuk menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama seramai 106 pegawai serta anggota. Semasa titah diraja, Kebawah Duli Tuanku telah melahirkan rasa bangga terhadap permodenan dan keupayaan TLDM masa kini sebagai sebuah Angkatan Laut yang disegani serta mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara. Kebawah Duli Tuanku telah dibawa oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar untuk melawat ke KD TUN RAZAK dan KD PAHANG. Kebawah Duli Tuanku juga telah bergambar bersama kru kedua-dua kapal dan seterusnya melawat Galeri Kapal Selam dan Galeri KD PAHANG.
Sesungguhnya Lawatan Diraja ke KD TUN RAZAK dan KD PAHANG ini telah menyuntik semangat untuk warga kedua-dua kapal terus mencurahkan khidmat cemerlang dalam menentukan kedaulatan dan pertahanan maritim negara terus terkawal.
Menikmati santapan dan jamuan tengah hari di
KD PAHANG

Oleh PR MAWILLA 1
Share this article :

No comments:

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. my test - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger